Wanita yang ku idamkan
Wanita yang ku idamkan
Adalah seorang wanita yang beriman
Yang hatinya disalut rasa takwa kepada Allah
Yang hatinya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu
Yang sentiasa berjuang di jalan islam
Wanita yang ku idamkan
Adalah wanita yang menjaga kutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Tidak bermegah dengan harta yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan
Yang mempunyai sifat penyayang
Yang mempunyai ramai kawan
Dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang
Wanita yang ku idamkan
Yang sentiasa menghormati ibunya
Yang sentiasa berbakti kepada
Kedua orang tua dan keluarganya
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga
Yang akan mendidik suami dan anak-anak mendalami islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara
Menuju akhirat
Wanita yang ku idamkan
Yang sentiasa menjadi tauladan
Yang hidup di bawah naungan Al-Quran
Yang mencontohi sifat Rasulullah
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang menjaga matanya dari memandang maksiat
Yang sujudnya penuh kesyukuran
Dengan rahmat Allah keatasnya
Wanita yang ku idamkan
Tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana membaca Al-Quran
Suaranya lesu kerana mengaji dan berzikir
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Yang sentiasa mengingati mati
Baginya hidup didunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik
Meneruskan perjuangan Islam hari kemudian
Wanita yang ku idamkan
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Disitulah rumah idamannya
Yang ingin membawaku bersama
Dialah Wanita yang ku idamkan………..
INSYA-ALLAH
-------------------------- @ ---------------------------------
Tuhanku
Seandainya telah Engkau catatkan,
Dia menjadi milikku, terciptanya buatku,
Dekatkanlah dirinya dengan diriku.
Tuhanku,
Jika dia ditakdirkan bukan milikku,
Tidak tercipta buatku,
Bawalah dia jauh dari pandanganku,
Luput dari ingatanku.
Peliharalah diriku
Dari rasa kecewa,
Berikanlah aku kekuatan,
Meskipun tanpa dirinya…..
Engkau gantikanlah yang telah hilang,
Tumbuhkanlah yang telah patah,
Walaupun tiada yang sama dengan dirinya.
Kupohon & kurayu pada-Mu yang Satu,
Engkau hapuskanlah perasaan ini,
Seandainya dia tidak mencintaiku…..
Tetapi Tuhanku,
Seandainya dia telah ditakdirkan untukku,
Kupohon agar Engkau sentiasa
Memperkuatkan cintanya sebagaimana
Kuatnya aku mencintainya……